Thursday, 7 December 2017

Laporan Karnival Inovasi dan Kreativiti BBM Bacaan






LAPORAN
KARNIVAL INOVASI DAN KREATIVITI BBM BACAAN

 TARIKH
24 NOVEMBER 2017

TEMPAT
DKJ, KSAJS, UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS 

ANJURAN
PELAJAR KURSUS KETERAMPILAN MEMBACA (BMK 3033) SEMESTER 3 SESI 2017/2018

DENGAN KERJASAMA
FAKULTI SAINS KEMANUSIAAN (FSK)





1.0       PENGENALAN
Dalam era teknologi masa kini, proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan buku teks, kaedah pengajaran guru melalui penggunaan kapur tulis dan papan hitam sahaja, malah lebih daripada itu termasuklah penggunaan teknologi yang menyediakan pembelajaran secara interaktif bagi memupuk minat pelajar. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang efektif dapat dilihat melalui sejauh mana kebolehan  guru-guru dalam menghasilkan P&P yang interaktif (Kamarul Azmi & Ab. Halim, 2007). Guru yang kreatif dan inovatif pula mestilah mempunyai persediaan daripada aspek pengetahuan  dan kemahiran dalam P&P termasuk mengaitkan keseluruhan aspek tersebut di dalam penyampaian  pengajarannya. Guru yang kreatif dan inovatif dalam P&P boleh dijadikan perintis kepada guru- guru yang lain kerana menggunakan sesuatu yang baru hasil daripada idea pemikiran sendiri ataupun adaptasi BBM sedia ada. Pengetahuan tentang pelbagai teknik bacaan dalam kalangan guru mampu membantu menyelesaikan masalah berkaitan kebolehbacaan di sesebuah kawasan. Setiap teknik ciptaan manusia pasti memiliki kelemahannya yang tersendiri. Guru perlu bijak memilih teknik yang ingin digunakan berdasarkan kesesuaiannya dengan situasi dan tahap intelektual pelajar yang ingin diajar. Guru yang bijak mengaplikasikan kekuatan dan kelemahan setiap teknik ini pasti akan dapat memanfaatkan sepenuhnya teknik-teknik ini seterusnya melahirkan pelajar yang cemerlang.. Oleh yang demikian, melalui teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran dari guru sahaja belum dapat menjamin berlakunya proses pembelajaran yang berkesan tanpa melalui bahan bantu mengajar. Dalam matapelajaran matematik, bahan bantu mengajar memainkan peranan penting ke arah memahamkan konsep di dalam proses pengajaran selain daripada bertujuan untuk menarik minat pelajar.



2.0       DEFINISI
BBM  ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru atau murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di dalam kelas. Peralatan mengajar bukan terhad kepada buku-buku teks, papan hitam, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran yang melibatkan semua pancaindera melihat, mendengar, rasa, hidu dan sebagainya, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-murid. Menurut Mok Soon Sang (1991), ABM merupakan intipati dalam membantu guru bagi melicinkan dan melancarkan pengajaran dalam usaha memudahkan pelajar memahami konsep dan isi serta fakta dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“ …hanya alat bantu mengajar yang mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu pelajar memperolehi pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah dan sikap sosial, kemantapan emosi dan daya penghargaan.”
                                                        (Thomas, R.Murray, Swartout, Sherwin G : 1963)

“ alat bantu ‘ itu mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses tersebut. Ia bertujuan untuk menambah kelancaran perhubungan antara guru dan murid dan sebaliknya, murid sesama murid serta membantu atau mempercepatkan proses pemahaman mereka”.

                                                                                  (Noraziah Abdul Hamid : 1981)

Ngui Kuen Sang (1981 )  mengatakan bahawa bahan bantuan mengajar (BBM) ini tidak dapat diberikan takrifan yang tetap walaupun pada keseluruhannya ramai pendidik menyetujui bahawa penggunaan bahan bantuan mengajar (BBM) dalam situasi pengajaran pembelajaran adalah pengalaman yang melibatkan penggunaan penglihatan dan pandangan seseorang. Manakala Atan Long ( 1981 ) membahagikan alat bantu mengajar kepada tiga kumpulan: alat pendengaran, alat-alat pandangan dan alat pandang-dengar. Noraziah Abdul Hamid ( 1981) membahagikan BBM kepada dua iaitu media elektronik dan media bukan elektronik. Manakala Hanapiah Sudin ( 1979 ) dan Khairiah Ahmad ( 1980) mengkelaskannya kepada dua iaitu “ software” dan “ hardware”
3.0       JENIS-JENIS BAHAN BANTUAN MENGAJAR
Bahan-bahan mengarajar tidak hanya terhad kepada satu kaedah sahaja. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai bahan bantuan mengajar yang semakin bertambah dengan wujud peredaran zaman yang semakin canggih. Sebagai contoh, bahan-bahan yang menggunakan media elektronik seperti filem pelajaran, filem jalur, slaid, overhead projektor (OHP), pita video, radio, pita rakaman, piring hitam, CD , komputer,radio kaset, televisyen, internet dan sebagainya.
Selain itu, terdapat juga bahan bantuan mengajar yang mana tidak mengunakan peralatan teknologi yang mana telah diaplikasikan semenjak zaman dahulu lagi dalam mewujudkan suasana bilik darjah yang berkesan. Bahan yang tidak menggunakan media bukan elektronik adalah seperti suara, gambar, carta, model, surat khabar, papan hitam, papan putih, papan flanel, papan magnet, kadkad imbasan, buku dan sebagainya.
 Di samping itu, bahan yang bercorak pengalaman seperti lakonan, lawatan, projek, pameran, bahan maujud (realia) dan sebagainya juga boleh dijadikan sebagai modul yang berkesan dimana melalui pengalaman sebenar murid-murid dapat mengalami sendiri apa yang dipelajari.
4.0       KEBAIKAN BAHAN BANTUAN MENGAJAR
Penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) dalam kalangan guru di sekolah memberi kesan yang positif terhadap kecemerlangan akademik pelajar dan kaedah pengajaran guru itu sendiri. Kajian- kajian lalu telah membuktikan bahawa wujudnya kesan positif tersebut antaranya melalui kajian oleh Jasmi, K. A. (et al., 2011) dan Ilias, M. F. (et al., 2013). Kedua-dua dapatan kajian Jasmi, K. A. (et al., 2011) dan Ilias, M. F. (et al., 2013) menunjukkan bahawa penggunaan BBM oleh guru mampu membuatkan pelajar fokus kepada pengajaran sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Oleh hal yang demikian  BBM yang telah dihasilkan mampu meningkatkan ingatan pelajar terhadap pelajaran yang disampaikan.      
            Secara tidak langsung, pelajar dapat mengingat serta menambah pengetahuan yang sedia ada melalui teknik KWL walaupun menggunakan teks sebagai bahan utama mengajar. Tambahan pula, pelajar bukan sahaja boleh nampak pergerakan yang dilakukan tetapi pelajar dapat membaiki kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan aktiviti tersebut dengan hanya menjawab soalan yang disediakan di dalam kotak. Kaedah ini juga dilihat dapat membantu pelajar untuk membaca dengan mengkaji sesuatu topik tersebut  daripada pelbagai perspektif serta mendalam selain kemampuan pelajar untuk memberikan kesimpulan mengenai topik yang dikaji berdasarkan maklumat baharu yang diperoleh dengan pengetahuan yang sedia ada dengan topik yang berkaitan tersebut.
                        Tambahan pula, setiap pelajar adalah tidak statik dari segi pemikirannya dan tingkah laku. Oleh hal yang demikian dengan adanya BBM, kebosanan serta rasa tidak suka pelajar terhadap sesuatu subjek dapat diurangkan. Misalnya, pelajar yang jenis “kinestatik” tidak boleh belajar dalam keadaan senyak dan hanya berdiam diri. Hal ini demikian mereka memerlukan rangsangan ataupun pergerakan dalam memproses sesuatu idea. Begitu juga dengan pelajar yang “visual”, mereka memerlukan daya penarik untuk mereka focus melihat sesuatu benda di dalam kelas. Dengan adanya bahan bantuan mengajar yang pelbagai dan menarik. Deria rangsangan para pelajar dapat diaktifkan dengan kerap. Melalui proses permainan kotak beracun akan wujud pergerakan serta daya tarikan kepada para pelajar. Oleh itu, cara mereka belajar tidak lagi membosankan kerana wujud rangsangan yang secara tidak langsung mengaktifkan otak mereka untuk berfikir. Teks yang pada asalnya sangat membosankan dan terlalu berat menjadi mudah bagi para pelajar untuk memahaminya apabila dipindahkan dalam bentuk bahan bantuan mengajar (BBM).
Kriteria-kriteria yang diaplikasikan dalam BBM
1. Sesuai
Perkataan sesuai itu sendiri membawa maksud bertepatan, di mana konsep sesuatu mata pelajaran boleh diikuti oleh pelajar. Tajuk dan juga keterangan berkaitan dengan mata pelajaran. Perbendaharaan kata dan bahasa yang digunakan boleh difahami oleh pelajar menepati seperti yang dikehendaki oleh kumpulan atau individu. Bahan bantuan mengajar ini juga sesuai dengan keadaan kelas dimana kaedah ini dapat diaplikasikan kepada semua murid tanpa wujud keciciran kerana bahan bantuan mengajar ini merangkumi pelbagai soalan berdasarkan teks.
2. Mencabar
Terdapat tiga konsep penting yang perlu wujud dalam proses pembelajaran iaitu rangsangan, pemikiran dan tingkah laku. Oleh yang demikian, bahan-bahan ini dapat memberikan rangsangan untuk pelajar berfikir dan mendorong mereka untuk terus belajar. Kaedah KWL ini dapat mencabar pemikiran pelajar ialah bahan-bahan yang diaplikasikan dalam bbm merangkumi teks yang mana dari aras mudah kepada komoleks, dari fakta yang terasing iaitu soalan yang pelbagai apabila digabungkan akan wujud perkaitan yang merangkumi keseluruhan fakta teks. Malah soalan yang disediakan juga adalah bahan yang khusus kepada bahan yang umum (induktif) dan bahan yang umum kepada yang khusus (deduktif).
3. Menepati
Ketepatan bahan pengajaran dimaksudkan sebagai isi kandungan bahan pengajaran yang menepati kandungan kurikulum pengajaran. Bahan pengajaran tersebut mempunyai perkaitan antara aspek kandungan bahasa, proses pembelajaran dan pengajaran. Ketepatan sesuatu bahan dengan kurikulum pengajaran bahasa adalah berdasarkan ciri-ciri yang berikut:
a) Isi kandungan sesuai dengan kemampuan dan kehendak pelajar.
b) Susunan bahan
c) Mengandungi maklumat atau fakta yang yang tepat.
d) Maklumat yang kemaskini
e) Perbendaharaan kata yang sesuai
f) Bahan pengajaran yang diperakui.
4. Menarik
Reka bentuk yang digunakan adalah menarik dan diaplikasikan dalam bentuk kotak ajaib. Kotak tersebut juga dibahagiakn kepada empat bahagian dimana merangkumi keseluruhan topic. Ilustrasi dan bahan hiasan juga digunakan  menghiasi bahan pengajaran, dimana berfungsi sebagai manifestasi visual sesuatu maklumat yang akan dapat menambah atau mengukuhkan pembacaan pemahaman.
5. Jimat dan mudah
Bahan yang digunakan adalah jimat kerana banyak menggunakan bahan terpakai seperti kotak, kain. Manakala kos yang digunakan adalah sangat minimum.
6. Praktikal
Bahan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
praktikal kepada kepada guru atau pelajar. Bahan yang digunakan adalah  sederhana dan mudah digunakan serta menggunakan bentuk bahasa yang yang berdasarkan situasi sebenar.


7. Mudah alih
Bahan pengajaran berfungsi dengan baik, boleh dibawa kemana-mana,dan tidak terlalu berat atau besar.
5.0       KEKURANGAN BAHAN  BANTUAN MENGAJAR
Jika dilihat secara keseluruhannya, tidak ada kekurangan dalam setiap bahan bantuan menjara selagimana bahan tersebut adalah selari dengan modul bahan bantuan menhgajar yang sebenar. Namun begitu, jika dilihat dari sudut realitinya, mesti ada juga kekurangan yang mana datangnya daripada guru itu sendiri. Ketidakbolehan guru itu untuk mengaplikasikan bahan bantuan mengajar tersebut di dalam kelas menjadikan bahan bantuan mengajar tersebut tidak digunakan dengan sebaiknya mahupun sepenuhnya. Hal ini demikian kerana mungkin wujud kelemahan yang datang daripada guru itu yang kurang berkualiti dari segi aspek pengajrannya yang tersendiri. Hal ini secara tidak langsung menjadikan pelaksanaan bahan bantuan mengajar itu sendiri walaupun sudah sempurna namun masih tidak sepenuhnya difahami oleh para pelajar yang menjadikan bahan bantuan mengajar itu kurang berkesan dan kurang berkualiti apabila digunakan.
Selain itu, dalam setiap teknik juga wujud kelemahnnya. Antara kelemahan teknik KWL adalah teknik ini memerlukan pelajar mengikuti langkah-langkah yang ditentukan dalam membaca selain teknik ini juga memakan masa yang agak lama. Teknik ini juga hanya sesuai untuk mata pelajaran atau buku yang berbentuk ilmiah sahaja. Selain itu, jika tidak diaplikasikan dengan sebetulnya, kemungkinan para pelajar tidak mahu ataupun bosan untuk mengikuti setiap langkah yang perlu dilakukan untuk membaca menggunakan teknik ini.
6.0       KEPENTINGAN BAHAN BANTUAN MENGAJAR
Pada masa dahulu, guru mengajar tanpa menggunakan Alat Bantu Mengajar (ABM). Pendidikan yang diberikan adalah secara lisan oleh guru kepada pelajar. Menurut Asiah Abu Samah (1990), perkembangan sains dan teknologi yang pesat telah menyebabkan kaedah menyebar data dan ilmu pengetahuan melalui bilik darjah menjadi tidak lengkap. Maka, guru pelatih di Malaysia telah diperkenalkan dengan penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) untuk membantu mereka mengajar dengan lebih berkesan.
Selain itu, penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) adalah sebagai alat pemudah untuk membantu dalam penyampaian pengajaran guru, bertujuan mencapai objektif pengajaran yang telah dirancang oleh guru dan murid-murid lebih memahami pengajaran guru seterusnya dapat menerima pembelajaran dengan cepat. Bahan Bantuan Mengajar ini juga dapat mengelakkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas lebih menjurus kepada keadaan yang diselubungi kebosanan di kalangan murid-murid, kerana murid-murid hanya lebih menumpukan perhatian terhadap pengajaran satu hala oleh guru. Sebaliknya dengan adanya BBM, proses pengajaran dan pembelajaran dapat ‘diselamatkan’ dari masalah disiplin di dalam kelas.
Selain itu, BBM juga dapat mencungkil kreativiti guru untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas lebih mencabar. Guru juga lebih terdedah dengan kemajuan sains dan teknologi jika guru mempunyai inisiatif untuk meneroka dunia tanpa sempadan ini, dan mengaplikasikannya dalam P&P.Hal ini demikian kerana zaman ini hampir majority para pelajar tau menggunakan teknologi dimana bagi mereka itu sesuatu yang menyeronokkan. Berbanding dengan dahulu yang hampir seratus peratus menggunakan buku dan kertas. Oleh hal yang demikian, dengan adanya penggunaan teknologi oleh guru ini, secara ridak langsung mampu mencipta sesuatu yang baharu dalam proses mengajar disamping menjadikan pendidikan tersebut adalah sejajar dengan kepesatan teknologi kini.
BBM menyediakan satu asas yang kuat untuk sesuatu konsep
• Sebagai daya penarik penting kepada seseorang pelajar
• Dapat menghasilkan pembelajaran yang lebih kekal
 • Memberi pengalaman sebenar yang boleh merangsangkan aktiviti sendiri di kalangan pelajar
 • Dapat membina pemikiran yang berterusan, seperti melalui filem bergerak.
 • Boleh membantu pemahaman dan perkembangan perbendaharaan kata pelajar.
 • Boleh memberi pengalaman baru dan menjadikan pembelajaran lebih mendalam dan beragam.
7.0       KESIMPULAN
Kesimpulannya, dalam mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan kondusif, amat penting bagi seseorang guru dalam mengaplikasikan teknik-teknik yang tertentu dalam bahan bantuan mengajar mereka. Setiap mata pelajaran mempunyai teknik-teknik tertentu yang mungkin hanya sesuai digunakan dalam situasi yang tertentu. Oleh hal yang demikian, sebagai seorang guru, amat penting dalam mengkaji dan mengenalpasti dengan lebih mendalam apakah kaedah atau teknik yang betul yang perlu digunakan dalam mewujudakan sesuatu bahan bantuan mengajar agar pengajaran akan lebih berkesan dan difahami oleh murid. Secara keselurahnnya, bahan bantuan mengajar amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Oleh itu, guru perlulah peka dan menggunakan sebaiknya bahan bantuan mengajar sebagai salah satu inisiatif untuk mengajar.






RUJUKAN
Amalan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar dalam Kalangan Guru Cemerlang Pendidikan Islam Sekolah Menengah di Malaysia (PDF Download Available). Available from: https://www.researchgate.net/publication/287647693_Amalan_Penggunaan_Bahan_Bantu_Mengajar_dalam_Kalangan_Guru_Cemerlang_Pendidikan_Islam_Sekolah_Menengah_di_Malaysia [diakses pada 06 Disember 2017].
Asiah Abu Samah. (1990). Ke Arah Pendidikan Bermutu Melalui Penerapan Teknologi Pendidikan. Jurnal Pendidikan. 1-4. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Atan Long. (1982). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamaruddin Husin. (1988). Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya: Longman.
Mok Soon Sang. (1991). Pedadogi 2: Strategi Pengajaran dan Pengajaran Mikro. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Ngui, K. S. (1989). Teknologi Pendidikan: Penggunaannya dalam Pengajaran Geografi. Selangor: Fajar Bakti.
Thomas, R. M., & Swartout, S. G. (1963). Integrated Teaching Materials, How to Choose, Create, and Use Them. New York: Revised and Enlarged Impression.


No comments:

Post a Comment